SPRM tahan KSU bergelar Datuk, sita wang tunai, jongkong emas RM3 juta

PUTRAJAYA: Seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah Kementerian bergelar Datuk merupakan antara dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, KSU berusia 59 tahun itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

“Turut ditahan ialah seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kedua-dua suspek katanya, ditahan di sekitar Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi hari ini.

Setakat ini, kata Azam, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Suspek dijangka dibawa ke mahkamah di Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Tindakan ini susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkipli Ahmad sebelum itu yang berikrar untuk menahan sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah.

“Dalam perjuangan memerangi rasuah, tidak wujud istilah ‘ikan bilis atau jerung’.

“Anai-anai atau nyamuk yang kecil sekiranya tidak dibasmi atau dicegah akan turut membawa kerosakan, wabak dan kemudaratan besar kepada masyarakat,” katanya dalam muat naik terkini status facebooknya. – Sarawakvoice