SPRM sahkan penahanan KSU Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah kerana rasuah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebentar tadi mengesahkan bahawa Ketua Setiausaha (KSU) yang ditahan hari ini kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah ialah KSU Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman.

Beliau dilantik ke jawatan tersebut pada 16 Oktober 2015. Sebelumnya beliau merupakan KSU Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, KSU berusia 59 tahun itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

“Turut ditahan ialah seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kedua-dua suspek katanya, ditahan di sekitar Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi hari ini.

Setakat ini, kata Azam, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Suspek dijangka dibawa ke mahkamah di Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Pada tahun 2012, bekas exco negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali pernah membuat dakwaan bahawa Mohd Arif telah melakukan banyak penyalahgunaan kuasa sewaktu menjawat Pegawai Kewangan Negeri Selangor.

Mohd Arif menurut Hassan, telah berbelanja mewah untuk pergi bercuti ke luar negara sebanyak enam kali setahun dengan kos melebihi RM250 ribu yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau malah didakwa memiliki kereta-kereta mewah di luar kebiasaan termasuk Cooper-S dan Audi Q5.

Proses tahanan reman akan dilakukan esok di Istana Keadilan Putrajaya. – Sarawakvoice