KUALA LUMPUR:  Jangan mempolitikkan isu atau hukum agama bagi meraih sokongan rakyat kerana tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan kekeliruan dan boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan perbuatan mempolitikkan isu agama sebagai usaha terdesak untuk menagih sokongan pengundi  menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, golongan agamawan termasuk para alim ulama dan mufti sepatutnya mengeluarkan pandangan terhadap kekhilafan sesuatu isu membabitkan Islam.

“Jangan jaja isu agama untuk tagih simpati dan undi, sebarang kekhilafan yang berlaku tidak sepatutnya dipolitikkan, ”  katanya.

Sejak akhir-akhir ini ada pihak sengaja mempolitikkan isu agama termasuk yang menyentuh soal hukum.

Beliau mempersoalkan, kenapa baru sekarang beberapa isu berkaitan agama Islam dibangkit dan dipersoalkan oleh pemimpin Islam sendiri.

“Jelas, kumpulan tersebut begitu terdesak sehingga tergamak menjadikan agama sebagai agenda politik,” tegasnya.

Syed Ali mengingatkan, bukan Islam sedang memerhati perlakuan dan akhlak pemimpin Islam dan jika keburukkan yang dipamerkan semestinya mereka memandang rendah terhadap kemuliaan agama Islam.

“Saya sedih sejak mutakhir ini, isu agama kembali dibangkitkan dengan membuat pelbagai tafsiran termasuk mengeluarkan pandangan yang mengelirukan,” ujarnya.

Menurut Syed Ali, apabila orang yang bukan ahlinya mengeluarkan pandangan atau fatwa berdasarkan hukum akal, nescaya akan mencetuskan kekeliruan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu agama untuk menjaga kedudukan atau kepentingan politik.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan turut melahirkan rasa kesal kerana ada sesetengah pihak tidak menghormati pandangan atau saranan dikeluarkan  oleh mufti di negara ini.

Menurut beliau seperti dipetik Umno online, mufti adalah ilmuan agama yang dilantik atas perkenan raja-raja atau sultan sesebuah negeri selaku ketua agama Islam.

Katanya, tuduhan pihak tertentu kononnya kalangan mufti di negara ini memihak kepada parti pemerintah adalah tidak berasas sesama sekali. – Sarawakvoice