BANGKOK: Dua puluh lima orang maut apabila sebuah van mini dan sebuah trak pikap bertembung di Chonburi, daerah Banbueng, semalam.

Menurut ketua polis Daerah Banbueng Kol Dussadee Kunchon Na Ayutthaya, kemalangan yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar, berlaku pada 2 petang (waktu tempatan).

“Mereka yang maut terdiri daripada 14 penumpang van mini dan 11 penumpang trak pikap,” katanya kepada media.

Hanya dua penumpang, masing-masing seorang daripada setiap kenderaan itu, terselamat dan kini dirawat di hospital daerah Banbueng, katanya.

Beliau berkata mayat semua mangsa, sesetengahnya terbakar teruk dan tidak dapat dikenali, dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan. Bernama