Rakyat Malaysia menyambut tahun 2017 dengan kenaikan harga beberapa barangan keperluan seperti kenaikan harga petrol, tayar, harga barangan keperluan sekolah terutama pakaian dan lain-lain keperluan harian.

Menurut satu laporan, jika sebelum ini ibu bapa memperuntuk sekitar RM100 hingga RM150 bagi seorang anak namun pada tahun ini mereka perlu menyediakan lebih RM200 untuk membeli pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis.

Kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga minyak yang dijangka pada tahun 2017 ini sudah pasti akan memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini? Sekiranya tiada kawalan dan pemantauan yang menyeluruh terhadap kenaikan barang keperluan ini, ia sudah pasti akan membebankan rakyat yang kurang berkemampuan dan yang berpendapatan rendah.

Kesan kenaikan harga barang keperluan ini memang membebankan bagi rakyat kerana mereka terpaksa berbelanja lebih berbanding tahun sebelumnya.

Pada ketika ini, ramai yang terpaksa berhenti kerja akibat proses pembuangan pekerja dan kesan krisis ekonomi dunia yang merundum — menyebabkan kehidupan rakyat semakin terdesak dan terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan.

GST juga perlu dimansuhkan dan subsidi petrol untuk kenderaan yang menggunakan RON95 dan diesel perlu dikembalikan semula.

Pengangkutan awam seperti teksi, bas, lori yang membawa barang keperluan perlu dikawal sepenuhnya agar mereka tidak menaikkan harga tambang apabila kerajaan memberi subsidi untuk pengangkutan awam.

Kita turut menggesa agar kerajaan mengurangkan bebanan rakyat dengan memansuhkan GST dan hanya mengenakan cukai ke atas barang mewah dan subsidi dikembalikan semula untuk mengurangkan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu diharapkan pihak kerajaan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah yang membebankan rakyat ini agar kehidupan rakyat pada 2017 ini tidak seteruk seperti tahun sebelumnya.

* Jofri Jaraiee merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak