KUALA LUMPUR: Cabaran kemakmuran ekonomi negara ialah faktor penting yang mampu menggalakkan rakyat mengamalkan nilai-nilai kesderhanaan yang berkait rapat dengan pencapaian ekonomi negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, situasi ekonomi, politik dan budaya yang mesra kerajaan dan rakyat menjadikan Malaysia negara pengimbang sama ada di peringkat domestik, serantau atau antarabangsa.

Katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu 2017 yang disambut esok, masa depan 2017 terletak di tangan rakyat.

“Tidak kira di mana jua kita berada, saya berpesan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita sebagai bangsa Malaysia wajib berbangga dengan setiap pencapaian dan sumbangan kita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, masyarakat negara ini tidak lagi terikat kepada negara bangsa semata-mata, malah terdedah kepada masyarakat global yang bermaklumat.

“Ini bermakna berlaku peralihan daripada masyarakat industri pertanian kepada masyarakat global bermaklumat,” ujarnya. – Sarawakvoice