KUALA LUMPUR: Rakyat sekarang menjadi semakin keliru apabila seorang lagi pemimpin tertinggi  Parti Amanah Negara (PAN) telah membuat kenyataan balas bahawa parti itu tidak akan bertanding di kerusi  Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Katanya, ia mungkin  satu tindakan bersifat kawalan kerosakan, tetapi daripada tindakan itu terserlah kecelaruan dalam kalangan kepemimpinan tertinggi PAN.

“Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah terdapat pemimpin Pakatan Harapan yang mahu PAN dibubarkan dan ahli-ahlinya diserapkan ke dalam parti-parti lain,” katanya.

Malah, terdapat pemimpin PAN yang mengecam Iskandar kerana  menyifatkan hasrat parti itu untuk bertanding di kerusi-kerusi PKR sebagai tidak amanah.

“Asas dakwaan saya adalah kerana mereka berada di dalam pakatan yang sama,” ujarnya.

Hasrat merampas kerusi PKR itu telah disuarakan oleh seorang pemimpin tertinggi PAN yang juga merupakan seorang Ahli Parlimen di Selangor.

Sehubungan itu, Iskandar telah digesa agar tidak mencampuri urusan parti tersebut.

Sebelum ini PAN berkata ia bersedia untuk bertanding di 40 kawasan Pas.

Dua hari lalu Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad menyatakan hasrat  mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pas, katanya,  nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu ditandinginya pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang dijadual pada Januari nanti berhubung isu pembahagian kerusi.

Khalid juga menggesa PAS memahami realiti politik semasa yang kini dirancakkan lagi dengan kehadiran PPBM dan Amanah, maka perbincangan mengenai pembahagian kerusi perlu dilakukan segera.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata perbincangan itu penting supaya setiap parti politik pembangkang ada kekuatan sehingga membolehkan mereka menerajui setiap negeri.

Amanah sejak awal lagi mengumumkan akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi Pas, meskipun parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertegas akan tetap mempertahankan kesemua kerusi tradisinya.

“Kenyataan untuk bertanding di kerusi-kerusi PKR telah dibuat secara terbuka. Maka adalah tidak wajar untuk menghalang sesiapa membuat ulasan kepada satu kenyataan yang dibuat secara terbuka itu,” tambahnya.

“Jika tidak mahu sebarang ulasan terhadap hasrat tersebut maka tidak perlu membuat kenyataan secara terbuka. Bincanglah secara dalaman,” katanya lagi. – Sarawakvoice