Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Tahun 2017 merupakan tahun mencabar bagi sosioekonomi Malaysia.  Dijangka beberapa  isu nasional akan terus berkumandang.  Adakah tahun 2017 akan lebih getir daripada tahun 2016?

Tahun 2016 digetirkan dengan penarikan subsidi minyak masak dan gula, kejatuhan nilai ringgit dan kos sara hidup terus meningkat. Kesannya, bukan sahaja terhadap masyarakat bandar tetapi juga di luar bandar.

Namun bagi yang bergaji RM3,000 di bandar besar seperti di Kuala Lumpur akan lebih terasa perit berbanding yang bergaji sama  di Kota Bharu atau di Kota Belud.  Kos sewa rumah, makan dan minum serta kos pengangkutan lebih murah berbanding di bandar raya  besar.  Di bandar kos pengangkutan ulang alik pergi kerja termasuk tol,  kos sewa rumah dan makan minum sangat membebankan.

Namun kenaikan kos sara hidup memang tidak dapat dielakkan dari tahun ke tahun.  Harga barang 30  tahun lalu sedikit demi sedikit semakin naik mengikut peredaran tahun sama ada anda berada di New York, London, Paris atau di Jakarta. Apatah lagi apabila anda berada di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu atau di mana-mana sahaja anda berada.  

Cuma sejauh manakah dapat  diperlahankan kenaikan tersebut  yang akan menentukan  cepat atau lambat kenaikan barangan atau perkhidmatan? Subsidi atau bantuan  kerajaan  sedikit sebanyak walaupun tidak dapat  menyelesaikan semua masalah dalam kehidupan seseorang itu, tetap diakui dapat menampung perbelanjaan  yang sedia ada.

br1m

BRIM Bertujuan Meringankan Beban

Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)  adalah satu usaha untuk meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan.  

Pemberian tunai ini layak untuk isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dan RM2,000 bagi individu dan kini  diperluaskan  kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 layak menerima RM900 berbanding RM800 sebelum ini. Manakala individu bujang berpendapatan kurang RM2000 pula layak menerima RM450 kepada RM400.

Pada masa yang sama, BR1M untuk isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan daripada RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,200. Adakah bantuan ini merupakan satu rasuah politik seperti dikatakan oleh Tun Mahathir sebelum ini?

Bukan Bertujuan Rasuah?

Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengingatkan  rakyat bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang. Beliau mendakwa Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M  untuk  meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mahathir juga mengkritik bahawa   ‘umpan’ BR1M mungkin dilihat sebagai usaha meringankan beban kewangan, namun rakyat tetap menderita dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi. Kekangan perbelanjaan  negara dikatakan memberi tekanan kepada rakyat dan banyak perbelanjaan tidak mencukupi  namun BR1M tetap diberikan.

mahathir mohammad_0000

Namun dari satu segi, bukankah BRIM sebagai usaha dan bantuan kerajaan kepada rakyat daripada terbiar sebegitu sahaja dan  rakyat berhak mendapatkannya?  Apa-apa sahaja perlu  disalurkan kepada rakyat. Hal ini turut diakui Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Di Selangor terdapat bantuan insentif RM500 yang tiada sebarang  had pendapatan dan terbuka kepada semua kaum bagi belia berkahwin. Terdapat pelbagai bantuan lagi dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor.

Di Singapura terdapat bantuan  seumpama itu bagi membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah. Bantuan wang ini disalurkan terus ke dalam akaun bank mereka.

Di Jakarta pula terdapat subsidi  berupa potongan harga beras, gula pasir, minyak masak dan daging sapi kepada golongan yang mempunyai pendapatan yang rendah.  Pihak pejabat daerah mengenal pasti golongan ini dan potongan ini akan dibayar oleh pejabat daerah mereka. Namun saluran kewangan tetap daripada pihak pemerintah.

Dari satu segi, BRIM berupaya merancakkan ekonomi setempat dan dapat membantu pertumbuhan ekonomi.  Bantuan seumpama ini pernah juga dilakukan dalam zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir dahulu dalam bentuk yang lain seperti dengan menggunakan istilah ‘wang Ihsan Terengganu’ dan  meningkatkan nilai projek  untuk kontraktor kelas G1 dari RM100,000 ke RM 200,000 ketika krisis ekonomi tahun 1999.  Kesemua ini untuk membantu rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat. – Sarawakvoice