Bayi maut kereta bapa rempuh belakang lori rosak di Sibu

SIBU: Seorang bayi berusia sembilan bulan maut setelah kenderaan yang dipandu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 8, Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini malam tadi.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie, insiden berlaku pada 7.45 malam ketika kenderaan yang dipandu bapa mangsa melalui jalan itu dalam suasana hujan.

“Dalam keadaan gelap, bapa mangsa tidak menyedari terdapat sebuah lori sedang diparkir di tepi bahu kiri jalan kerana mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, lori yang sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Bintulu dan menunggu trak tunda itu gagal meletakkan tanda kecemasan di tengah jalan, sebaliknya hanya membuka lampu kecemasan.

“Ini mengakibatkan kenderaan Proton Saga yang dipandu bapa mangsa itu gagal mengelak daripada merempuh bahagian belakang lori tersebut.

Impak pelanggaran tersebut kata Mathew, menyebabkan kenderaan Proton Saga terperosok di bawah lori terbabit.

“Ia menyebabkan mangsa mengalami luka parah manakala ibunya cedera ringan.

“Abang mangsa yang berusia dua tahun dan bapanya pula tidak cedera.

Mangsa kata Mathew, bagaimanapun gagal diselamatkan dan meninggal dunia sekitar jam 8.57 malam ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu.

Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Zara Arissa Luqman Nur Hakim.

Punca sebenar kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice