Khalid Abd Samad

KUALA LUMPUR:  Parti Amanah Negara (Amanah) berkata parti itu mengutamakan matlamat mengalahkan Barisan Nasional (BN), justeru usaha mengukuhkan Pakatan Harapan dan Bersatu akan sentiasa diutamakan berbanding isu kerusi.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Pas tidak perlu risau mengenai perbalahan Amanah dengan PKR berhubung kerusi kerana mereka dan juga, DAP dan Bersatu akan sentiasa berbincang untuk mencapai persetujuan tanpa perbalahan.

“Namun demikian teguran dari Iskandar diterima oleh kami dengan hati terbuka. Insya-Allah  hubungan kami dalam Pakatan Harapan dan Bersatu tidak akan terjejas atas sebab kerusi,” katanya.

Katanya, jumlah 40 kerusi yang dihasratkan oleh Amanah adalah berdasarkan kekuatan parti itu yang tidak mempunyai kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya ke-13.

Justeru, Khalid menyangkal dakwaan Pas bahawa ia mencuri kerusi.

Sebaliknya, kata beliau dalam satu kenyataan, isilah ‘mencuri’ sesuai untuk kisah seperti di Kota Damansara pada PRU13 lalu kerana Pas melanggar keputusan yang dibuat bersama dan mencuri kerusi PKR.

Katanya lagi, istilah Amanah ‘mencuri’ kerusi tidak sesuai diguna pakai kerana pembahagian dan pemberian kerusi akan hanya dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat.

Khalid mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Iskandar Abdul Samad  berkaitan hasrat Amanah untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen yang dianggap sebagai memperlihatkan sikap tidak amanah parti itu.

“Itulah sebabnya ia perlu dibincangkan bersama dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” ujarnya.

“Ia juga mengambil kira strategi yang dicadangkan di mana setiap parti ditentukan negeri untuk dipimpinnya. Ini mungkin akan menyebabkan sedikit pengubahsuaian agihan kerusi antara parti termasuk Bersatu,” tambah Khalid.