Rumah terbakar di Sungai Apong, enam sekeluarga terselamat kerana balik kampung

KUCHING: Tujuh beranak yang menghuni sebuah rumah di Lorong 7A Jalan Sungai Apong dekat sini terselamat biarpun rumah mereka dijilat api awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar jam 2.49 pagi tadi.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan dua jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 18 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Padungan.

“Pasukan tiba enam minit kemudian dan terus melaksanakan kerja-kerja pemadaman.

Kebakaran katanya, melibatkan sebuah rumah struktur tidak kekal berkeluasan 40×60 kaki dan ini menyebabkan api marak dengan cepat sehingga membakar 90 kediaman tersebut.

“Anggota kemudian bertindak berjaya mengawal kebakaran tersebut dengan menggunakan sumber air dari pili bomba.

Jelas Farhan, kecuali seorang lelaki, semua ahli keluarga yang menghuni kediaman itu sedang bercuti Krismas di Kampung Mongkos Baru ketika kejadian.

“Lelaki berusia 30-an yang tinggal itu pula berjaya menyelamatkan diri, biarpun di bawah pengaruh dadah.

Operasi ditamatkan sekitar jam 4.39 pagi tadi dan punca kebakaran kini sedang disiasat oleh pasukan forensik kebakaran. – Sarawakvoice