Menjelang berakhirnya tahun 2016, dan bakal menyusul tahun 2017, selain isu ekonomi dan kos sara hidup, perkara utama yang bakal bermain dalam kepala rakyat Malaysia ialah tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ibu segala pilihan raya akan ditentukan pada tarikh berkenaan yang menentukan hidup mati Umno dan Barisan Nasional.

Persoalannya, bilakah PRU-14 akan diadakan.

Tarikh tersebut pasti dalam pengetahuan Perdana Menteri. Meskipun dari segi undang-undang dan perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan tarikh, hakikatnya, Perdana Menteri sebenarnya dirundingi atau berunding dengan badan berkenaan.

Banyak teka-teki berkenaan dengan tarikh PRU, dengan alasan, hujah dan justifikasi masing-masing.

PRU-13 telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah Parlimen dibubarkan pada 3 April.  Tempoh penggal Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan ialah lima tahun mulai tarikh bersidang. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen menerusi ucapan khas yang dipancarkan melalui televisyen pada 3 April 2013.

SPR telah mengumumkan tarikh penamaan calon adalah pada 20 April, dan pilihan raya diadakan 5 Mei, iaitu pada hari Ahad.

Adakah kali ini, PRU akan diadakan pada bulan Mei? Atau akan diadakan pada bulan September?

Bagi memudahkan kita menebak tarikh, mungkin lebih mudah untuk mencari tarikh atau bulan PRU tidak akan diadakan.

Januari dan Februari tentu bukan bulan yang sesuai kerana sekolah baru buka dan juga kaum Cina meraikan Tahun Baharu Cina.

November dan Disember tentu bukan bulan paling sesuai kerana musim hujan dan cuti, dengan sebahagian rakyat bercuti dalam negeri atau luar negeri.

Musim landas pasti tidak sesuai dari segi logistik kerana jika banjir melanda pasti akan menimbulkan banyak masalah kepada SPR dan rakyat yang mengundi.

Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tentu bukan bulan yang sesuai, selain bulan Jun ketika kaum Dayak di Sarawak dan Kadazandusun di Sabah meraikan Gawai Dayak dan hari Keamatan.

Bulan Ogos juga difikirkan tidak kena ketika rakyat menyambut perayaan kemerdekaan pada 31 Ogos, dan 16 September pula hari Malaysia.

Kalau PRU-14 hendak diadakan pada bulan September, adakah ia diadakan selepas hari Malaysia atau sebelum?

Kemungkinan besar mengambil kira sentimen dan perasaan positif, terutama selepas Sukan SEA pada Ogos, kemungkinan besar PRU diadakan selepas 16 September.

Hakikatnya, tempoh pemerintahan kerajaan sekarang hanya akan berakhir pada Jun 2018. Tetapi Najib pasti tidak akan mengambil risiko melepasi tarikh Parlimen sepatutnya dibubarkan.

Berdasarkan statistik  SPR baru-baru ini, 17.7 juta warga Malaysia layak mengundi.

Namun, 13.5 juta sahaja mendaftar sebagai pemilih dan bakinya hampir 4.2 juta belum lagi mendaftar, termasuk hampir 1.8 juta orang Melayu (43 peratus) 1.2 juta orang Cina (29 peratus), 378,931 orang India (9 peratus), 302,391 warga bumiputera di Sarawak, 298,910 warga bumiputera di Sabah (7 peratus) dan 30,736 Orang Asli (0.71 peratus).

Kemenangan dalam pilihan raya ditentukan oleh faktor angka.

Jadi, sekiranya undi Melayu berpecah pada PRU-14 seperti diramalkan dan sokongan daripada kaum India terhadap BN pula rendah seperti disaksikan dalam pengundian PRU-12 (10 peratus) dan PRU-13 (43 peratus), maka BN  dipercayai sukar mempertahankan kuasanya.

Memandangkan PRU kali ini amat penting bagi survival Najib, Umno dan BN, mungkinkan Sabah dijadikan sebagai penanda aras dan ukuran.

Maksudnya, akan diadakan pilihan raya negeri Sabah secara berasingan  pada bulan Mei terlebih dahulu, barulah diadakan PRU-14 pada bulan September?

Namun, dalam keadaan pakatan pembangkang belum lagi bersatu dan berbalah, BN masih ada harapan untuk terus menguasai Putrajaya, dan Najib terus menjadi Perdana Menteri untuk tempoh lima tahun selepas itu. – Sarawakvoice