Juruterbang lewat, melalut: Pesawat tertunda lebih sejam

JAKARTA: Gara-gara juruterbang yang lewat masuk ke dalam pesawat dan kemudiannya melalut membuat pengumuman, penerbangan Citilink dari Surabaya ke Jakarta awal pagi tadi tertunda selama lebih sejam.

Pengurusan Citilink meminta maaf kepada para pelanggannya dan dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kerana terdapat penumpang yang membuat aduan segera mengenai insiden itu.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Citilink Indonesia, Benny S. Butarbutar dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, pesawat yang sepatutnya berlepas pukul 5 pagi tadi terpaksa ditunda sehingga pukul 6.20 pagi.

“Kami ingin menyampaikan permohonan maaf atas kelewatan dan ketidakselesaan seluruh penumpang penerbangan Citilink Indonesia QG 800 pada 28 Disember 2016,” katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, pihak pengurusan juga mengucapkan terima kasih kepada penumpang yang membuat aduan terhadap juruterbang berkenaan.

Juruterbang itu didapati telah melalut ketika membuat pengumuman sebaik memasuki pesawat dan pihak pengurusan bertindak segera menukarkannya bagi meneruskan penerbangan.

Beliau berkata, juruterbang terbabit telah dibawa ke klinik di lapangan terbang itu untuk ujian kesihatan dan dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika bertugas.

Sebanyak 154 penumpang dan kru penerbangan berkenaan selamat mendarat di Jakarta kira-kira sejam kemudian.