KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyambut baik resolusi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Resolusi berkenaan menuntut supaya Israel dengan segera dan sepenuhnya menghentikan semua aktiviti penempatan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Jerusalem Timur.

Ia juga  mengesahkan bahawa penubuhan penempatan oleh Israel itu adalah tidak sah di sisi undang-undang dan merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Ketua Penerangan Dewan berkenaan, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri juga menyeru Wisma Putra khususnya menerusi wakil tetap Malaysia ke PBB untuk terus lantang menegaskan pendirian dan sikap umat dan ulama Islam dalam menentang kebiadapan Israel serta menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, resolusi terbabit sekurang-kurangnya dapat mengembalikan semula sebahagian hak milik Palestin yang telah dirampas oleh Israel serta meredakan sedikit ketegangan akibat peperangan yang sering dicetuskan oleh Israel ke atas orang-orang Islam di Palestin.

“Namun, resolusi ini tidak sepatutnya dijadikan helah atau diperalatkan ke arah mencapai ‘penyelesaian dua negara’ yang kononnya adalah penyelesaian sebenar terhadap pertikaian antara Palestin dan Israel sedangkan Israel dibangunkan di atas tanah Palestin yang dirampas secara zalim dengan membunuh rakyat Palestin tanpa mengira jantina dan usia,” katanya.

Mustahil,  ujar beliau, setelah merampas hak milik pihak lain tiba-tiba perdamaian yang dicadangkan ialah dengan membahagikan hak itu secara bersama antara pihak yang merampas dan mangsa rampasan. – Sarawakvoice