Parti Bersatu pimpinan Mahathir terus dilanda masalah

KUALA LUMPUR: Belum lagi melangkah jauh, namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah berdepan dengan masalah dan kontroversi.

Parti diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mulai menerima kritikan, termasuk daripada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Anina Saadudin, salah seorang pengasas parti berkenaan yang sebelum ini dikatakan Ketua Srikandi telah digugurkan daripada jawatannya kerana dikaitkan dengan teks skandal dalam Whatsapp.

Namun, beliau menafikan perkara tersebut dan dilaporkan bahawa tuduhan sedemikian adalah lumrah dalam politik Malaysia.

Dalam satu kenyataan beliau dipetik sebagai berkata: “Skandal seks yang dikaitkan dengan saya adalah salah satu lumrah dalam kehidupan ahli politik Malaysia. Saya didatangi seorang anak murid dan mengucapkan tahniah kepada saya. Saya tanyakan kenapa? Beliau menjawab “sekarang pensyarah saya telah sah menjadi ahli politik Malaysia kerana sudah dipalit skandal seks. Sabarlah kerana jika kita hendak mencuci jamban, sudah pastilah kita perlu terkena kotorannya juga. Jika tidak bagaimana nak cuci jamban”.

Namun Setiausahanya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menegaskan, parti itu masih belum menubuhkan sayap Srikandi.

Katanya dalam satu kenyataan, kedudukan Anina Saadudin yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi Bersatu tidak seharusnya timbul.

“Beliau  kekal sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan  menubuhkan sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi.

“Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh yang demikian pemilihan Ketua Srikandi hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi.

“Adalah diharapkan ahli-ahli Bersatu terutamanya Srikandi dapat bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Ketua Penerangan PPBM, Kamaruddin Md Noor  sebepum ini dipetik media sebagai berkata,  Anina sejak awal tidak pernah menjadi Ketua Srikandi.

Kekeliruan mengenai jawatan Anina sebagai ketua Srikandi berlaku seminggu selepas beberapa blog mendakwa beliau terbabit dalam skandal seks.

Beliau dilaporkan menolak dakwaan itu sebagai perkara biasa dalam politik. – Sarawakvoice