Netanyahu marah, panggil duta besar negara kecam Israel di PBB

JERUSALEM: Tidak puas hati dengan resolusi yang diluluskan Dewan Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam pembangunan Israel di wilayah milik Palestin, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memanggil Duta Besar negara yang terlibat mengundi.

Antara yang dipanggil menghadap Netanyahu di pejabatnya ialah Duta Besar Amerika Syarikat dan Saphiro, selain Duta Besar Britain, Rusia, China, Jepun, Ukraine, Perancis, Angola, Mesir, Uruguay dan Sepanyol.

Dewan Keselamatan PBB mengeluarkan resolusi pertama sejak 1979 menegaskan pembangunan permukiman Yahudi di wilayah pendudukan Tebing Barat dan Jerusalem Timur jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menjadi halangan untuk solusi dua negara Israel-Palestin.

AS kali ini turut bertindak berkecuali serta tidak menggunakan kuasa veto mengagalkan resolusi berkenaan.

Sejak setahun terakhir, kerajaan Presiden Obama secara terbuka menyanggah peluasan permukiman Yahudi di wilayah Palestin.

Resolusi yang dikeluarkan PBB pada Jumaat lepas memaksa Israel menghentikan semua pembangunan permukiman Yahudi di Tebing Barat dan Jerusalem Timur.

Israel menganggap resolusi PBB berkenaan sebagai memalukan.

Netanyahu menuduh AS salah satu sekutu akrab Israel, sengaja membenarkan keluarnya resolusi ini.

Washington membantah tuduhan Israel berkenaan.

Setakat ini, lebih 500,000 warga Yahudi tinggal di 140 permukiman yang dibangun sejak 1967 ketika Israel menduduki Tebing Barat dan Jerusalem Timur, dua wilayah untuk negara masa depan Palestin. – Sarawakvoice