Wanita maut pacuan empat roda jatuh gaung di Jalan Sibu-Bintulu

SIBU: Seorang wanita maut setelah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditumpanginya terlibat dalam satu kemalangan di Batu 62, Jalan Sibu-Bintulu berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Spiring dekat sini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima laporan insiden tersebut sekitar jam 1.06 pagi dan sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah.

“Pasukan tiba di lokasi sekitar jam 2.40 pagi selepas mengharungi perjalanan sejauh 122 kilometer dan mendapati kenderaan tersebut yang dinaiki dua mangsa telah terjatuh ke dalam gaung.

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital berdekatan.

“Dalam kejadian ini,  pemandu kenderaan yang dikenal pasti sebagai Lebit Madang 55 tahun cedera manakala seorang wanita, Jumit Empalah, 35 tahun maut.” – Sarawakvoice