2 wanita maut pacuan empat roda rempuh Proton Wira Aeroback

SIBU: Dua wanita maut setelah kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Paradom, Jalan Sibu-Sarikei, dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut aekitar jam 4.02 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu.

“Pasukan tiba di lokasi 19 minit kemudian dan mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan Proton Wira Aeroback.

“Terdapat dua mangsa perempuan terperangkap di bahagian tempat duduk belakang kenderaan Proton Wira Aeroback tersebut dan pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan “hydraulic rescue tool”.

Kata Farhan, mangsa berjaya dikeluarkan sekitar jam 5.11 petang dan diserahkan kepada pasukan paramedik dari Hospital Sibu.

Bagaimanapun katanya, pihak paramedik mengisytiharkan kedua-dua mangsa tidak lagi bernyawa.

Kedua-dua wanita yang maut ini kemudian dikenal pasti sebagai Chong Jai Fong, 33 tahun dan Ranie Kaw, 32 tahun.

Turut cedera seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan seorang lelaki dewasa dari kenderaan yang sama.

Pemandu pacuan empat roda yang terlibat mengalami cedera ringan. – Sarawakvoice