Kanak-kanak 5 tahun parah, bapa cedera dirempuh Proton Saga di Batu Kawa

KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun parah manakala bapanya cedera selepas kenderaan mereka yang berhenti di bahu jalan dirempuh oleh sebuah kenderaan lain.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, insiden berlaku di Jalan Batu Kawa, sekitar jam 4.30 pagi semalam.

“Dalam kejadian tersebut, kenderaan Proton Saga yang dinaiki dua beranak itu sedang berhenti di bahu jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan Proton Saga BLM yang menghala ke Batu Kawa dari Kuching.

“Bapa mangsa yang berusia 33 tahun dan anaknya kini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” jelasnya lagi.

Kata Mathew lagi, punca kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice