2016: Kerajaan sediakan sistem pengangkutan lebih baik

Tahun 2016 berakhir dengan janji bagi rangkaian perhubungan lebih baik di negara ini, dengan perkhidmatan rel menyediakan pengangkutan pantas dan menyeluruh.

Satu daripada projek bagi mentransformasi pengangkutan awam negara ialah kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang akan dibangunkan oleh Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian bagi landasan sepanjang 350km itu pada 13 Dis yang akan memendekkan masa perjalanan antara Singapura dan Lembah Klang kepada 90 minit sahaja.

mrt-rakyat-0003 Pembinaannya dijadual bermula tahun depan dan projek HSR dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Satu lagi projek penting ialah Landasan Kereta Api Pantai Timur, meliputi jarak sepanjang 620km dari Lembah Klang. Projek itu diumumkan tahun ini dalam Bajet 2017 dan kerja pembinaannya akan bermula tahun depan.

Tersenarai sebagai antara projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-11, ia akan dibina secara berperingkat dan akan menghubungkan Pelabuhan Klang, Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Tumpat.

Fasa pertama perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang merangkumi 12 stesen dari Sungai Buloh ke Semantan telah mula beroperasi pada 16 Dis.

Fasa kedua dari Semantan ke Kajang membabitkan 19 stesen dijadual mula beroperasi menjelang Julai 2017.

mrt-rakyat-0002

Laluan Sungai Buloh-Kajang merupakan perkhidmatan pertama bagi MRT. Laluan kedua iaitu Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, akan meliputi 37 stesen, 11 daripadanya di bawah tanah.

Kerja pembinaan sudahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

Kerja pembinaan juga sudah bermula bagi Laluan 3 perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), menghubungkan Bandar Utama dan Klang, dengan 25 stesen, dan dijadual siap pada 2020.

Di ibu negara Malaysia, Laluan LRT Ampang dipanjangkan lagi dengan 15 stesen baharu yang dibuka pada Mac.

Juga pada 2016, Projek Landasan Berkembar Lembah Klang turut dimulakan, membabitkan kerja naik taraf landasan sepanjang 42km antara Rawang dan Salak Selatan dan antara Sentul dan Simpang Batu.

Di Sabah dan Sarawak, projek terbesar setakat ini ialah Lebuhraya Pan Borneo, sepanjang 2,239km merentasi kedua-dua negeri.

mrt-rakyat-0001

Pembinaannya bermula pada April tahun lepas di Sarawak dan April lalu di Sabah.

Kerajaan, sementara itu, mengumumkan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesesan Kenderaan Perdagangan 1987 bagi pelaksanaan Program Transformasi Industri Teksi.

Program itu bagi menyelesaikan konflik antara pemandu teksi dan perkhidmatan pengangkutan secara dalam talian atau e-hailing seperti Uber.

Untuk meringankan beban pemandu teksi, kerajaan memperuntukkan RM60 juta untuk memberikan geran RM5,000 kepada setiap daripada mereka bagi membeli kenderaan baharu dan memperoleh permit teksi individu.

Satu lagi perkembangan penting adalah penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia pada 1 Mac sebagai entiti bebas untuk pengawalan dari segi ekonomi dan komersial berkaitan penerbangan awam negara.

Suruhanjaya itu telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara manakala Jabatan Penerbangan Awam membatalkan Sijil Operator Udara syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air, antara lain disebabkan kedudukan kewangan yang lemah.

mrt-rakyat-0000