PUTRAJAYA: Sebagai pengeluar minyak sawit terpenting dunia, Malaysia perlu memainkan peranannya sebagai penentu harga komoditi tersebut di pasaran.

Malaysia berada pada posisi sektor hiliran industri yang sepatutnya berperanan penting menjadi penentu harga sawit, bukan lagi menjadi penerima harga ketika berada di sektor huluan.

Berucap pada Majlis Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Industri Sawit 2016 pada Khamis, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata untuk muncul sebagai penentu harga, Malaysia harus menggunakan kemajuan sains, teknologi dan inovasi.

Memetik Bernama, Mah berkata, “saya percaya kekayaan negara pada masa hadapan akan ditunjangi oleh sektor komoditi yang lebih moden, kompetitif dan mapan,” katanya.

Menurut Mah, sebelum 1917, penanaman kelapa sawit hanya dalam skala kecil dan tidak terancang.

Kini satu abad sudah berlalu dengan industri peladangan sawit Malaysia berkembang pesat dengan keluasan tanaman sawit menjangkau 5.64 juta hektar.

Ia bersamaan lebih 70 peratus daripada keseluruhan kawasan pertanian negara.

Sempena ulang tahun ke-100, Kementerian merangka pelbagai program bagi meningkatkan industri tanaman sawit dan mengiktiraf sumbangan para pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kejayaan industri sawit negara

Menurut Mah, kementeriannya merangka program sambutan industri tanaman sawit negara bersama Lembaga Minyak Sawit  Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). – Sarawakvoice