Rakyat Malaysia kurang makan sayur dan buah, terdedah kepada obesiti dan hipertensi — Subramaniam

SERDANG: Pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kalangan rakyat Malaysia dewasa amat rendah dan membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramaniam.

Menurutnya, hanya enam peratus rakyat Malaysia dewasa yang mengambil cukup buah dan sayur pada tahun 2015.

“Jumlah ini amat menyedihkan, apatah lagi kadar tersebut menurun berbanding 7.5 peratus pada tahun 2011,” katanya sewaktu melancarkan Kempen Program Makan Buah dan Sayur bersempena MAHA 2016 di Dewan Maeps, dekat sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik.

Menurut Subramaniam, hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan dari tahun 1996 sehingga 2015, status kesihatan masyarakat Malaysia amat membimbangkan.

“Tabiat pemakanan yang tidak sihat telah meningkatkan risiko berlakunya masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

“Keadaan lebih ketara bagi penyakit berkaitan pemakanan seperti diabetes, hipertensi dan beberapa jenis kanser,” katanya lagi.

Buah-buahan dan sayur-sayuran tambahnya, merupakan makanan rendah kalori yang kaya dengan vitamin dan mineral selain mengandungi anti-oksidan, fitokimia dan serat yang mempunyai hubung kait dengan pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Panduan Diet Malaysia 2010 menyarankan pengambilan sekurang-kurangnya tiga sajian sayur-sayuran dan dua sajian buah-buahan sehari.

“Konsep Pinggan Sihat Malaysia perlu diterapkan supaya rakyat faham dan seterusnya dapat mengamalkan pengambilan buah dan sayur dalam kuantiti yang sepatutnya.

“Separuh dari pinggan mestilah terdiri dari buah dan sayur,” pesannya lagi. – Sarawakvoice