Tanam sawit NCR: Dapatkan pengesahan ketua masyarakat, tak perlu permit surat

BAU: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang mahu memajukan tanah milik mereka dengan mengikuti skim tanaman kelapa sawit, tidak lagi perlu mengemukakan permit surat tanah bagi menyokong permohonan mereka.

Sebaliknya, pemilik tanah NCR yang mahu berjaya ini, cuma perlu mendapatkan pengesahan pemilikan tanah daripada ketua masyarakat masing-masing serta lesen daripada Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata inisiatif kerajaan ini memudahkan urusan membangunkan tanah NCR sebagai satu bentuk sokongan kepada rakyat.

Merasmikan Majlis Pembukaan Hari Terbuka Pekebun Kecil Sawit Bahagian Kuching Uggah berkata, kerajaan ikhlas menggalakkan penglibatan masyarakat khususnya di luar bandar terlibat dalam bidang pertanian khususnya industri sawit.

Uggah merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, mahu lebih banyak penyertaan pemilik tanah NCR di Sarawak yang belum memanfaatkan tanah NCR milik masing-masing menyertai skim pertanian sawit ini.

Bercakap pada majlis anjuran bersama Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar (MOARE), MPOB dan Dayak Oil Palm Planters Association (DOPPA) di Dewan Suarah Bau pada Jumaat, Uggah berkata terdapat 34,590 pekebun kecil dan sederhana di seluruh Sarawak yang menanam seluas 190,000 hektar kelapa sawit.

Menurut Uggah, statistik ini tidak termasuk penglibatan syarikat besar yang lain.

Uggah berharap ikrar pekebun kecil dan sederhana menjual hasil sawit mencecah 30 tan setahun bakal menjadi kenyataan.

Bagi merealisasikan impian ini, Uggah juga berharap DOPPA dapat memainkan peranannya menubuhkan koperasi seterusnya membantu menjual sawit peserta.

Bahkan, DOPPA dapat mengusahakan sasaran mempunyai kilang pemprosesan minyak sawit sendiri serta kilang proses sawit bersepadu untuk menghasilkan produk berasaskan sawit pada masa depan. – Sarawakvoice