Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Benarkah Adenan Satem telah membuat pusingan U, menggugurkan usul menuntut semula hak Sarawak?

Adakah benar Sabah dan Sarawak telah diturunkan status daripada sebuah ‘negara’ atau ‘rakan serantau sama’ kepada sebuah ‘negeri’ pada tahun 1976?

Tiada siapa-siapa yang boleh memberikan jawapan muktamad lagi sebenarnya.

Saya percaya yang mempersoalkan hal ini sendiri tidak pasti apakah istilah yang paling tepat harus diguna pakai.

Menuduh Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menghadiri persidangan Parlimen pada 12 dan 13 Julai 1976 sebagai pengkhianat atau traitor sebenarnya agak keterlaluan. Boleh jadi merupakan suatu fitnah juga.

Senarai tersebut merupakan usaha daripada wartawan mengeluarkan nama ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menghadiri persidangan Parlimen pada kedua-dua hari berkenaan.        

Harus ingat menghadiri  sesuatu mesyuarat dengan bersetuju atau tidak dengan perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah dua perkara yang berbeza.

Kita bernasib baik dalam zaman IT ini kedua-dua hansard Parlimen tersebut boleh diperoleh daripada Arkib portal Parlimen Malaysia (www.parlimen.gov.my/hansard).

Hanya pemalas atau yang kurang celik literasi media digital sahaja yang tidak mahu mengambil inisiatif mengesahkan kebenaran sesuatu cerita sebelum memilih mempercayainya atau tidak.

Atau yang memang sudah taasub dengan ideologi sesebuah parti sehinggakan hilang kemampuan melihat sesuatu perkara secara objektif.

Perdana Menteri pada ketika itu Tun Hussein Onn membentangkan beberapa usul untuk digubal, Perkara 1(2) hanyalah salah satu daripadanya. Mungkin begitulah amalannya sebelum ini membentangkan semua usul secara pakej?  

Memang benar Lim Kit Siang ada mengulas usul daripada Perdana Menteri tersebut tetapi beliau ialah Ketua Pembangkang pada ketika itu dan beliau langsung tidak menyentuh pun pasal Perkara 1(2) itu.

Makanya, saya tidak tahu apa asas sesetengah komuniti alam maya mengangkat Lim Kit Siang sebagai wira Sabah Sarawak mempertahankan Sabah dan Sarawak pada persidangan berkenaan.

Seperkara menarik yang mungkin boleh diketengahkan di sini ialah dilema penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Salinan asal Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah dalam bahasa Inggeris. Mungkinkah ada perkara kecil dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat penting telah hilang dalam terjelmahkan?   

Istilah ‘State’ itu sendiri sahaja boleh diertikan sama ada sebagai sebuah ‘kerajaan’, ‘neger’i, mahupun ‘negara’.   

Terjemahan bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Ministry of Home Affairs dan Kementerian Luar Negeri bagi Foreign Ministry pastinya mengelirukan sesetengah pihak juga yang kurang arif. Kenapa ‘negeri’ bukannya ‘negara’?     

Berbalik kepada inti pati utama perbincangan, apakah tujuan sebenarnya isu-isu ini menjadi topik hangat? Saya percaya rata-rata daripada kita tahu demi hak-hak Sarawak dan Sabah.

Bagaimana caranya atau apakah pendekatan yang paling efisien untuk memperoleh hak-hak Sarawak ini? Saya yakin Adenan Team telah bertungkus-lumus mengkaji dari pelbagai perspektif untuk memperoleh resolusi yang terbaik.

Dalam proses tersebut saya percaya Adenan Team melihat mulakan dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai cara yang lebih bijak.      

Lebih banyak masa diperlukan untuk meneliti semua dokumen yang berkaitan, iaitu MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Laporan Suruhanjaya Cobbold, surat-menyurat  antara kerajaan [government to government (G2G) letters] sama ada Sarawak dengan Tunku atau Sarawak dengan British, dokumen berkaitan Perkara 18 dan sebagainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membuka pintu kepada Sabah dan Sarawak untuk berbincang. Tidak pernah ada Perdana Menteri yang berbuat demikian.

Tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia pun terpaksa tunggu beliau untuk mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.  

Sabah dan Sarawak dijangkakan akan tampil dengan pasukan perundangan masing-masing untuk berunding dengan Perdana Menteri yang kemungkinan besar akan dihadiri oleh Peguam Negara (AG) memandangkan ini adalah perbincangan G2G.

Kesempatan daripada Perdana Menteri ini untuk perbincangan G2G ini haruslah dimanfaatkan sepenuhnya. Apa yang paling diperlukan ialah mereka yang memahami undang-undang dalam perbincangan ini.  

Cerita MA63 mungkin sedap didengar, mudah membuat kita rasa seronok tetapi sudahkah kita menemui asas yang kukuh untuk dibawa ke meja perundingan? Sebaik-baiknya penyelidikan yang lebih teliti perlu dilakukan.   

Apa yang mempunyai asas paling kukuh untuk digunakan dalam perundingan sebenarnya ialah Perlembagaan Persekutuan Malaysia sekarang. Kenal pasti hak-hak Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah terlepas pandang.

Mulakan dari situ terutamanya Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Negara.

Ramai “pakar” MA63 tiba-tiba muncul kebelakangan ini. Namun berapa ramai yang betul-betul pakar dalam topik berkenaan? Masing-masing kelihatan memberikan interpretasi dari perspektif masing-masing.   

Yang berpolitik lagilah cuba mempolitikkannya untuk dapatkan political mileage.

Apa yang terpenting sekarang sebenarnya adalah dapatkan pakar undang-undang untuk meneliti perkara yang ingin dibincangkan.

Makanya langkah terbaharu Adenan Satem sebenarnya merupakan langkah strategik.

Jika bacaan ini betul saya menjangkakan akan ada pertemuan antara Adenan Team dengan Sabah Team untuk memperhalusi agenda yang ingin dibawa bincang dengan Putrajaya Team yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat ini. – Sarawakvoice

Leave a Reply