Tabung Darah kumpul 200 pek darah hasil sumbangan tentera dan orang ramai di Lapangan Terbang Kuching semalam

KUCHING: Sebanyak 200 pek darah berjaya dikumpulkan sempena Program Derma Darah yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AirAsia Berhad Cawangan Kuching (AirAsia) dan Malaysia Airport Berhad di ruang legar Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Program ini yang bertujuan mengisi tabung darah Hospital Umum Sarawak melibatkan 100 anggota Tentera Darat di bawah formasi Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan.

Turut terlibat 80 orang Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) daripada Pangkalan Udara Kuching serta staf-staf Air Asia dan petugas lapangan terbang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PMTTD, program ini dilaksanakan bagi menjalinkan kerjasama erat di antara agensi keselamatan dan sektor korporat dalam menunaikan tanggunjawab sosial kepada masyarakat.

“Ia juga bersempena sambutan hari ulang tahun AirAsia yang ke-15,” jelasnya lagi.

Majlis penutup program ini kemudian disempurnakan oleh Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar Panglima Medan Timur Tentera Darat.

Zaki turut menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil agensi yang terlibat dalam program ini sebagai tanda penghargaan.

Program inter-agensi ini mendapat kerjasama penuh dengan pihak ATM yang menghantar anggota sebagai penderma, pihak Malaysia Airport Berhad menyediakan ruang lokasi serta pihak AirAsia dari aspek koordinasi serta penganjuran aktiviti tersebut, di samping membantu pihak Hospital Umum Sarawak melalui Unit Tabung Darah yang menghantar dua doktor serta petugas.

Program ini juga memenuhi peranan sekunder agensi keselamatan untuk membantu masyarakat yang memerlukan darah selain tugas utama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman.

Seiring dengan konsep Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), program ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang. – Sarawakvoice

Leave a Reply