Siasat rasuah RM114.5 juta, SPRM ambil masa sebulan analisis 8,000 baucar, 12 tan fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) SPRM mengambil masa sebulan menganalisis 8,000 baucar pembayaran 2008-2016 dan fail seberat 12 tan bagi siasatan rasuah sebuah agensi kerajaan negeri.

“Baucar diekstrak daripada fail yang mengandungi puluhan ribu dokumen melibatkan dokumen tuntutan pembayaran keseluruhan jabatan Kerajaan Negeri Sabah,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Menurut Bernama, Azam berkata, siasatan kini memasuki fasa terakhir sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurut Azam, proses siasatan dilakukan secara teliti melibatkan 137 pegawai SPRM dalam kes rasuah berkepentingan awam itu.

Sebelum ini, SPRM mendapat perintah reman terhadap 28 individu melibatkan bekas pengarah, dua bekas timbalan pengarah, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam.

SPRM merakam percakapan lebih 200 saksi sejak siasatan bermula 4 Oktober lalu.

SPRM merampas dan membekukan harta bernilai RM114.5 juta terdiri daripada wang tunai, akaun bank, amanah saham serta aset di dalam dan di luar negara. – Sarawakvoice

Leave a Reply