Sarawak Expressway bernilai RM5 bilion, Lebuh Raya Pedalaman ke Ulu Baleh dari Betong RM2 bilion

KUCHING: Cadangan untuk membina Laluan Utama Kedua Sarawak atau Sarawak Expressway melibatkan kos sebanyak RM5 bilion, dan ia dicadangkan untuk menggunakan dana Kerajaan Negeri, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri James Jemut Masing .

Menurutnya, ia bukan bersaing dengan Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang dilaksanakan secara berfasa, tetapi sebagai laluan alternatif kepada penduduk di negeri ini.

“Di Semenanjung ada pelbagai jenis lebuh raya dan ia datang dari pelbagai arah, tidak salah kita turut berbuat demikian.

cfd177d8-0dc8-4171-a121-6ef108aeb888

“Yang penting adalah ia untuk kesenangan rakyat. Sekarang adalah masanya kita membayar balik kepercayaan mereka selepas mengundi kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.

Jelas Timbalan Ketua Menteri itu lagi, jumlah itu tidak besar sebenarnya dan mampu ditampung oleh Kerajaan Negeri.

“Jika diluluskan, saya yakin ia akan dapat siap serentak dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo,” jelasnya lagi.

Sewaktu membentangkan penggulungan kementeriannya pada Isnin Selasa lalu, Masing mengumumkan cadangan laluan ini yang dapat memendekkan perjalanan dari Kuching ke Sibu selama dua hingga dua setengah jam, melibatkan jarak sekitar 200km.

Ketika ini, perjalanan paling pantas ke Sibu adalah sekitar lima ke enam jam, dan jika menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo, perlu melalui laluan sejauh 400km.

Turut dicadangkan sejajar dengan pembinaan Laluan Utama Kedua ini, ialah pembinaan laluan pintas sejauh 85km dari Sebuyau ke Sri Aman, yang akan bergabung dengan Lebuh Raya Pan Borneo di Betong.

“Ketika ini laluan untuk jalan pesisir pantai kita sudah hampir siap sepenuhnya, kecuali laluan Selalang-Tanjung Manis sejauh 33 kilometer, yang disifatkan sebagai ‘missing-link’.

Masing turut mengumumkan cadangan untuk membina satu lagi lebuh raya dari Timur Laut Betong yang menjajar di pinggir sempadan Kalimantan, Indonesia sejauh 300km sebelum tamat di Ulu Sungai Baleh, yang menempatkan Empangan Hidro Baleh.

Dengan adanya laluan yang dinamakan ‘Lebuh Raya Pedalaman’ ini kelak katanya, kawasan pedalaman Sarawak seperti Ulu Sungai Layar, Pakan, Julau, Kanowit, Song dan Kapit akan dirangkaikan dan lebih pantas dibangunkan.

“Pembinaan laluan berharga RM2 bilion ini penting kerana ia bertujuan untuk memudahkan pengawalan aset-aset penting negara yang terletak di kawasan tersebut.”

Tiga empangan yang berada di kawasan Kapit ialah Empangan Hidro Murum, Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Baleh.

Oleh kerana perancangan ini masih di peringkat awal, Masing berkata, beliau berharap dapat membentangkan keseluruhan rancangan ini pada tahun hadapan dan mendapat kelulusan Kabinet untuknya.

“Saya berharap dapat melihat laluan kedua ini direalisasikan sebelum saya berundur dari politik, manakala laluan tambahan ke Ulu Baleh tersebut dapat dimulakan pada Rancangan Malaysia ke-12,” jelasnya.

Katanya lagi, Sarawak diyakini boleh membina sendiri laluan tersebut tanpa mengharapkan dana Kerajaan Pusat, yang kini sedang memberi perhatian untuk menyiapkah Lebuh Raya Pan Borneo. – Sarawakvoice

Leave a Reply