Pasaran hartanah dijangka kekal lembap tahun depan

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah dijangka kekal lembap pada 2017 dibelenggu isu-isu seperti ketidakmampuan, penolakan permohonan pinjaman yang tinggi serta isu-isu makroekonomi seperti peningkatan kos sara hidup dan pertumbuhan pendapatan yang kecil.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor, berkata trend yang mencabar daripada tahun lepas, yang menyaksikan penurunan ketara dalam penawaran hartanah, dijangka berterusan sekurang-kurangnya pada separuh pertama tahun depan.

“Kami tidak melihat sebarang peningkatan sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2017,” katanya pada Forum Prospek PropertyGuru 2017 di sini pada Khamis.

Beliau berkata pasaran hartanah yang lemah menyaksikan jumlah penawaran hartanah turun sebanyak 30 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Fateh Iskandar berkata jualan juga susut dengan ketara kepada kira-kira 30 peratus daripada penawaran pada separuh pertama tahun ini daripada 52 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengurus portal hartanah dalam talian PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandes, berkata dengan siapnya banyak projek baharu tahun depan, pasaran hartanah dijangka kekal mendatar dan turun sedikit tahun depan.

Beliau berkata, kesukaran mendapatkan pinjaman juga satu lagi halangan dalam pemilikan hartanah seperti yang dilihat dalam penurunan kelulusan pinjaman kepada 42 peratus tahun ini daripada lebih 50 peratus pada tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini akan memberi laluan kepada pertumbuhan dalam pasaran sewa yang merupakan satu alternatif kepada mereka yang tidak mampu membeli rumah.

“Pasaran sewa dijangka kekal kukuh, dipacu oleh peningkatan golongan muda, pembeli pertama yang menangguhkan keputusan pembelian rumah mereka, yang akan melihat pasaran sewa di samping terus menyimpan untuk rumah masa depan mereka, ” katanya.

Sementara itu, Fateh Iskandar menggesa kerajaan agar membuka skim pinjaman penuh (PR1MA) bagi rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia, yang diumumkan dalam Bajet 2017, kepada pemaju swasta yang membina rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah.

Beliau berkata pemaju swasta boleh melengkapkan usaha Perbadanan PR1MA Malaysia, badan yang menyelia pembangunan PR1MA, di kawasan yang agensi itu tidak menjalankan projek.

“Anggota Rehda adalah dari Perlis hingga ke Sabah. Kami boleh membantu membina rumah-rumah PR1MA di kawasan di mana Perbadanan PR1MA Malaysia tidak dapat melaksanakannya,” katanya.

Forum sehari itu dianjurkan oleh PropertyGuru, membincangkan trend pasaran hartanah tahun ini dan ramalan untuk tahun depan dan juga perkembangan terkini serta cabaran masa depan.

Leave a Reply