Pandang ke hadapan, jangan asyik bernostalgia untuk UMNO kekal relevan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO perlu memandang ke hadapan dengan memahami pola tingkah laku dan gelagat sosial masyarakat untuk memastikan parti kekal relevan daripada asyik bernostalgia mengenai bekas pemimpin parti, demikian tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti berkata adalah lebih baik jika perwakilan UMNO tidak lagi meng’hero’kan bekas pemimpin parti selepas ini.

“Nostalgia itu sesekali harus diingati tetapi memandang ke depan itu lagi penting,” katanya dalam sidang media bersama-sama Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 oleh Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin yang turut ditanya jika terdapat perwakilan pada perhimpunan agung kali ini yang masih tidak memandang ke hadapan, berkata terdapat perbezaan ‘mood’ pada persidangan tahun ini berbanding tahun lepas.

“Sangat berbeza dari segi semangat kekeluargaan, semangat untuk ke depan dan menjawab kritikan,” katanya.

Ditanya mengenai tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara UMNO dengan PAS, Ahmad Zahid berkata ketika ini apa yang berlaku antara kedua-dua parti lebih kepada konsep ta’awun dan tabayyun dan bukanlah kerjasama politik seperti yang digembar-gemburkan.

“Ia terarah kepada ta’awun iaitu memberi pemahaman dan keutamaan kepada isu-isu yang kabur dan juga tabayyun iaitu pencerahan.

“Jadi kedua-dua aspek ini didahulukan daripada tahaluf siyasi. Jika tidak, mungkin akan timbul salah tafsir. Kesefahaman itu lagi penting daripada kerjasama,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat pada 24 Nov lepas bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.

UMNO menyokong usul itu.

Leave a Reply