Lelaki menyamar kakitangan Sesco untuk kutip wang dicekup, SEB khuatir didalangi sindiket besar

KUCHING: Tindakan seorang penipu yang menyamar sebagai kakitangan Syarikat Sesco Berhad untuk mengaut keuntungan mudah terbongkar, apabila helahnya berjaya dihidu sebelum berjaya dicekup polis pada 16 November lalu.

Lelaki terbabit memperdaya pengguna elektrik dengan menunjukkan kepada mangsanya akan Arahan Senarai Pemotongan Meter yang palsu.

“Mangsa dikatakan akan dikenakan caj penalti kerana terlibat dalam mengganggu meter elektrik milik Sesco.

“Sehubungan itu, suspek menyakinkan mangsa agar melakukan pembayaran kepadanya bagi membolehkannya menggantikan meter mereka, untuk mengelakkan dikenakan penalti jika aduan tersebut dikemukakan secara rasmi kepada pihak Sesco.

Pelanggan yang tertipu kemudian membayar suspek, tetapi tiada penggantian meter dilakukan kemudiannya.

Bertindak atas laporan orang awam, pihak polis telah melancarkan satu siasatan dan bekerjasama rapat dengan Sesco berhubung kes ini.

Suspek kemudian berjaya ditangkap dalam tempoh 24 jam sebelum dituduh di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Sarawak Energy Berhad dalam kenyataannya hari ini memperingat orang awam bahawa kakitangannya tidak ditauliahkan untuk menerima sebarang bentuk pembayaran daripada mereka.

Untuk kes ini katanya, mangsa berjaya mengenal pasti identiti suspek dan kini pihak polis sedang memburu dua lagi rakan suspek untuk membantu siasatan.

“Setakat ini terdapat empat kes telah dilaporkan di tiga kawasan iaitu Matang, Semaba dan Samariang di Kuching.

Pihak polis percaya bahawa terdapat ramai daripada pelanggan Sesco telah menjadi mangsa tetapi mereka tidak membuat sebarang laporan polis berhubung penipuan tersebut.

“Malah pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa ia merupakan sebahagian daripada ahli sindiket yang menjalankan operasi penipuan ini,” kata kenyataan tersebut lagi.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi segera pihak polis jika mereka dikunjungi oleh individu yang mencurigakan, yang mendakwa mereka merupakan kakitangan Sesco.

Sesco juga mengingatkan bahawa sebarang pembayaran hanya boleh dibuat di pejabat syarikat itu ataupun di kaunter-kaunternya, termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Semua pegawai syarikat itu katanya, telah dibekalkan dengan kad identifikasi bagi membolehkan mereka memperkenal diri kepada pelanggan di lapangan.

Orang ramai yang berhadapan pengalaman serupa atau diminta untuk membayar tunai kepada individu tertentu atas khidmat yang Sesco tawarkan diminta untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan syarikat itu di talian 1300 88 3111, atau menghubungi pihak polis yang terdekat, atau menghubungi pegawai penyiasat; Inspektor Zulsafri di talian 014 5815032. – Sarawakvoice

Leave a Reply