Kes skuad sepak takraw wanita Sukma Sarawak dianggap selesai, persatuan diberikan teguran – Karim

KUCHING: Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini memberitahu, kes skuad sepak takraw wanita Sarawak yang dituduh menggunakan pemain ‘luar negara’ dalam aksi Sukan Malaysia di Miri pada Julai lalu dianggap selesai, dengan pihak yang terlibat telah diberikan teguran.

Menurutnya, kerajaan juga tidak berhasrat untuk melanjutkan kes tersebut kerana ia berjaya diselesaikan dalam suasana kekeluargaan oleh badan induk sukan tersebut.

“Saya difahamkan ia diselesaikan dengan baik, dengan para pemain yang ‘mencurigakan’ itu telah diarah untuk tidak bermain dalam baki perlawanan.

manyin-sukma-perak03

“Dan isu itu ditamatkan di peringkat itu dan tidak ada bantahan rasmi diterima oleh pihak penganjur,” katanya yang juga Chef-de-mission skuad SUKMA Sarawak 2016.

Beliau ditanya berhubung perkembangan isu tersebut sewaktu hadir pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada kontijen Sarawak yang akan menyertai Kejohanan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA kesembilan, yang akan berlangsung di Samarinda, Indonesia.

Menurut Karim, beliau percaya insiden tersebut berlaku disebabkan keterujaan Persatuan Sepak Takraw Sarawak untuk memberikan sumbangan emas kepada pasukan Sarawak, tanpa menyedari tindakan mereka itu salah dan melanggar peraturan.

Dalam saingan tersebut, skuad Sabah menyapu bersih tiga pingat emas dalam tiga acara sepak takraw wanita di Stadium Tertutup Miri.

Sabah mengutip pingat emas pertama dalam acara regu double (dua pemain) dengan menewaskan Wilayah Persekutuan. Pulau Pinang dan Selangor pula memenangi pingat gangsa.

Sabah turut memenangi kategori regu (tiga orang) dengan menewaskan Perak yang memenangi pingat perak, manakala Sarawak dan Pulau Pinang berkongsi pingat gangsa.
Sabah turut memenangi pingat emas bagi acara sepak takraw antara pasukan wanita.

Ditanya adakah persatuan sukan itu akan digantung daripada menyertai kejohanan SUKMA seterusnya di Perak, Karim berkata, ia bukanlah tindakan yang baik.

Sarawak sendiri katanya, mempunyai ramai pemain berbakat dan persatuan harus mencarinya di segenap pelosok negeri ini bermula dari sekarang.

“Kita perlu mengadakan pusat kecemerlangan di luar-luar bandar bagi mencari bakat-bakat ini dan seharusnya kes yang berlaku itu dijadikan iktibar,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply