Eksport gaharu Malaysia capai hampir RM500 juta

KUCHING: Dengan memanfaatkan sepenuhnya kekayaan sumber biodiversiti, usahawan Sarawak berpotensi mengembangkan produk herba serta rempah-ratus untuk pasaran peringkat global.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, statistik eksport gaharu Malaysia 2002-2008 ialah 1,379,382 kilogram bernilai hampir RM500 juta.

Selain mengeksport minyak gaharu, habuk gaharu juga turut mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.

awang-ntfp06

Bercakap pada majlis Pelancaran Karnival Produk Hutan Bukan Kayu (NTFP) Heart of Borneo Sarawak (HoB) anjuran Jabatan Hutan Sarawak di Tebingan Kuching pada Khamis, Tengah berkata hutan paya bakau dan hutan paya air tawar di Sarawak banyak memberi manfaat.

Hutan paya membekalkan daun nipah, gula apong, tepung sagu daripada pokok nipah dan minyak ketiau dari buah pokok nyatoh.

Dalam pada itu, Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawan, Perdagangan dan Pelaburan sampai masanya pengusaha NTFP menubuhkan industri desa menghasilkan kraf tangan daripada rotan, buluh, bemban dan sebagainya.

Menurut Tengah, perkembangan industri pelancongan mempunyai kesan langsung ke atas permintaan produk kraf tangan kreativiti warga tempatan.

“Saya menggesa pihak swasta membantu kita membuat promosi produk tempatan agar dapat menembusi pasaran antarabangsa,” ujar Tengah.

Beliau berharap penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan demi memulihara dan mempelbagaikan kegunaan NTFP selain meningkatkan hasil serta bekalannya

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Haji Sapuan Ahmad berkata, inisiatif HoB Sarawak merupakan komitmen kerajaan Malaysia dalam pemulihan rentas sempadan.

Ia melibatkan kawasan hutan seluas 200,000 kilometer persegi di tiga negara iaitu Malaysia (Sabah dan Sarawak), Indonesia (Kalimantan) serta Brunei Darussalam.

HoB Sarawak mencapai keluasan 2.1 juta hektar meliputi dataran tanah tinggi di tengah kepulauan Borneo.

Kawasan ini didiami 13,000 penduduk yang terdiri daripada tujuh kumpulan etnik yang masih bergantung dengan sumber hutan sebagai mata pencarian. – Sarawakvoice

Leave a Reply