Dr Chandara seolah di awangan, kata pemimpin Pas

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pas berkata, memberikan hak kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah jenayah zina, pesalah jenayah menuduh zina dan pesalah jenayah minum minuman memabukkan, dengan hukum syariah yang ditetapkan oleh Allah iaitu sebatan masing-masing 100, 80 dan 40 sebatan menurut tatacara Syariah, adalah sebenar-benar keadilan dan ihsan.

Ahli Parlimen (Pas) Kuala Nerus, Datuk  Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, keadilan dan ihsan tidak dicapai dengan akal semata-mata lalu menolak dan memandulkan pelaksanaan syariat dalam menghukum pesalah jenayah.

“Keadilan dan Ihsan juga tidak berlaku hanya menerusi hukuman tetapi dengan dukungan sistem tata cara keterangan jenayah Islam ketika menjatuhkan hukuman. Keadilan dan Ihsan tertegak apabila Islam ditegakkan secara holistik pada falsafah pendidikan aqidah, praktik dan pelaksanaan syariat dan undang-undangnya dan manifestasi penampilan akhlaknya,” katanya.

Beliau mengulas pandangan Dr Chandra Muzaffar yang disifatkannya  seolah-olah ingin menolak konsep cegah dan hukum dalam undang-undang lalu dikaitkan RUU 355 dengan kegagalan kekangan terhadap dadah di Pakistan dan korupsi di Sudan.

Dr Chandra menuduh kononnya RUU 355 bakal membantutkan makna sebenar keadilan dan ihsan dalam beragama.

Hakikatnya menurut   Dr Mohd Khairuddin,  sesuatu yang barangkali tidak diimani oleh Dr Chandra dan menjadi titik beza barangkali antara beliau dan seluruh umat Islam yang mempraktikkan agamanya ialah bahawa keadilan dan ihsan hanya tercapai menerusi pelaksanaan pada Syariat beragama.

Bagi beliau, Dr Chandra perlu mengkritik undang-undang sivil hari ini yang gagal mengekang gejala rasuah termasuk di negara ini, selain mengkritik kegagalan sistem pendidikan negara kita yang berjaya melahirkan manusia berakademik tetapi gagal pada keperibadiannya hingga terjebak dengan jenayah rasuah.

“Beliau seolah di awangan dan sememangnya tidak memahami apakah aspek undang-undang jenayah yang ditangani oleh Akta 355. Sedarkah Dr Chandra bahawa Akta 355 bernama Akta 355 Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah?,” katanya.

RUU 355 adalah berkenaan pindaan bagi kadar hukuman bagi kesalahan Syariah yang telah sedia diamalkan di Mahkamah Syariah hari ini. – Sarawakvoice

Leave a Reply