ALOR SETAR: Lari daripada kekejaman tentera Myanmar yang membakar kampung dan membunuh minoriti etnik Rohingya di Rakhine, sekitar 500 pelarian dalam satu kumpulan keluar dari kediaman mereka sejak 17 November lepas.

Ketika berpatah balik kerana diusir oleh tentera Bangladesh, 200 daripada pelarian yang terkapai-kapai di laut pula hilang.

Nasib mereka tidak diketahui sama ada karam atau mati ditembak ganas oleh tentera Myanmar.

Memetik laporan Bernama, Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia cawangan Kedah, Yusof Ali berkata, bagaimanapun sekitar 300 pelarian yang terkandas di perairan Myanmar-Bangladesh ditemui selamat selepas diberi pertolongan penduduk kampung di Bangladesh, Selasa lepas.

Mereka diselamatkan dalam kumpulan sekitar 25 bot dengan setiap bot memuatkan sekitar 20 pelarian yang membawa “nyawa” tanpa arah tujuan dan destinasi.

“Mereka yang selamat menghubungi saya dan berkata empat bot yang membawa puluhan pelarian Rohingya ditembak tentera Myanmar,” ujarnya dan berkata mereka ditembak ketika cuba berpatah balik selepas diusir tentera Bangladesh.

Yusof berkata lebih 10 kanak-kanak pelarian meninggal di atas bot kerana lapar selepas terputus bekalan makanan.

Terdapat juga wanita melahirkan bayi di dalam bot yang sempit dan serba daif.

Kebanyakan mereka hanya minum air laut dan makan rumpai untuk menahan lapar. – Sarawakvoice

Leave a Reply