BANGKOK: Genap 50 hari tamatnya hari berkabung kemangkatan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 89, kini Raja Rama X atau dikenali sebagai Putera Mahkota Maha Vajiralongkon, 64 sah ditabal menjadi raja baru Thailand.

Menurut kenyataan Jabatan Perhubungan Awam, Raja ke-10 Dinasti Chakri itu menggunakan nama rasmi Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun selepas menerima jemputan rasmi menaiki tahkta daripada Dewan Perundangan Kebangsaan (Parlimen).

Turut hadir pada istiadat yang berlangsung di Dewan Ampornsathan yang turut disiarkan televisyen negara ialah Presiden Parlimen Pornpetch Witchitcholchai, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha, pemangku raja yang juga bekas Ketua Majlis Penasihat Raja, Jen Prem Tinsulanonda dan Hakim Mahkamah Agung Weeraphol Tangsuwan.

Menurut Payut, istiadat pertabalan rasmi Raja Rama X atau panggilan rasminya Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun dijangka diadakan selepas upacara kerasmian diraja, mungkin lewat tahun depan.

Raja Rama X diputerakan 28 Julai 1952 di Ambara Villa, Bangkok.

Baginda putera tunggal merupakan anak kedua daripada empat cahaya mata mendiang Raja Bhumibol dengan Permaisuri Sirikit.

Baginda diwariskan takhta oleh ayahnya pada 28 Disember 1972 ketika berusia 20 tahun.

Raja Rama X melanjutkan pengajian di kolej swasta di United Kingdom dan Australia.

Baginda mempunyai minat mendalam dalam hal ehwal ketenteraan sehingga memasuki Royal Military College of Duntroon di Canberra dan New South Wales University dalam jurusan pengajian ketenteraan.

Baginda pernah menjalani latihan bersama-sama anggota tentera Australia, Britain dan Amerika Syarikat.

Sekitar 1970-an, baginda sendiri pernah mengetuai kempen menentang komunis di utara dan timur laut Thailand.

Vajiralongkorn turut berkelayakan menerbangkan jet pejuang serta pesawat pengangkut. – Sarawakvoice

Leave a Reply