5 helikopter, 154 lori, 358 4wd, 226 bot, 50 ambulans dan 17,000 petugas siap siaga hadapi bencan di Sarawak – Uggah

KUCHING: Sebanyak lima buah helikopter, 154 lori, 358 pacuan empat roda, 226 bot dan 50 ambulans kini sedang dalam siap siaga untuk diatur gerak bagi menghadapi sebarang bentuk bencana alam di seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, persediaan awal telah dilakukan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusinya telah mengadakan dua kali mesyuarat bagi mengurus persiapan dan penugasan, jika bencana tersebut berlaku.

“Ketika ini kita memiliki kekuatan lebih 17 ribu petugas terlatih daripada pihak kerajaan dan jumlah yang lebih besar daripada pelbagai badan sukarela, badan bukan kerajaan dan swasta akan diperoleh untuk berhadapan situasi ini,” katanya.

Untuk tujuan ini juga katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bersedia dengan sejumlah 5,000 petugas, Angkatan Tentera Malaysia (7,192 petugas), Polis Di Raja Malaysia (1,344 petugas ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (1,343 petugas).

“Sebanyak 1,129 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 1,089 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut terlibat,” katanya.

Tegasnya, sebagai persediaan untuk memberikan respons yang terbaik dan pantas, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah mengenal pasti 610 buah pusat pemimdahan di seluruh negeri manakala 160 pembekal lojistik telah dilantik.

“Kesemua pembekalan ini disimpan di 25 pangkalan hadapan, yang terletak di kawasan-kawasan strategik,” katanya.

Sarawak lazimnya berhadapan dengan keadaan laut bergelora, air pasang besar, ribut dan banjir bermula Disember hingga Mac sepanjang tahun, dan akan berhadapan fenomena panas selepas itu.

Bagi memastikan semua pihak sentiasa bersiap siaga berhadapan situasi mencabar ini, kata Uggah lagi, beberapa siri latihan dan simulasi telah diadakan bersama-sama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Antaranya termasuklah Latihan Komunikasi dan Simulasi Banjir di Stapang (Sibu), Simulasi Operasi Response Time Tanah Runtuh (Sibu), Search and Rescue Exercise (Sarex) Maritim Wilayah Sarawak dan Simulasi Pengurusan Bencana Daerah Marudi.

Kemua program ini kata Uggah, diadakan pada Oktober lalu dan pada bulan November lalu, tiga simulasi yang sama diadakan di Asajaya, Kampung Endap (Samarahan) dan Kanowit.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri kini juga sedang memmbangunkan ‘Sistem Laporan Bencana’ berasaskan komputer bagi membolehkan semua laporan mengenai bencana di seluruh negeri dapat dimaklumkan lebih pantas, sistematik dan tepat.

“Menerusi sistem ini, hanya Pegawai Daerah diberikan kuasa untuk memasukkan data dan maklumat terkini bagi memastikan ketepatan datanya,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Leave a Reply