PUTRAJAYA: Rizab tukaran asing Malaysia stabil meskipun negara menghadapi penurunan nilai ringgit di pasaran.

Rizab asing berada pada paras stabil sekitar AS$97 bilion sepanjang tahun ini.

Bahkan, ketika ringgit mendapat serangan perniagaan mata wang global, rizab asing meningkat kepada AS$98.3 bilion pada 15 November 2016 berbanding AS$97.8 bilion pada akhir Oktober.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani menjelaskan berkaitan silap fakta berkaitan ekonomi seperti dilaporkan artikel berita dalam talian, “Malaysia has to face ringgit volatility” (Malaysia perlu hadapi turun naik ringgit).

Memetik laporan Bernama, Johari menjelaskan meskipun nilai ringgit menyusut berpunca daripada aktiviti spekulator dalam pasaran luar pesisir, ia tidak membawa kepada penurunan ketara dalam rizab asing Malaysia.

Johari berkata paras rizab terus disokong oleh lebihan akaun semasa yang berkekalan dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang bertindak menjadi penampan kepada serangan terhadap ringgit.

Mengkritik laporan artikel tersebut, Johari berkata fakta menunjukkan rizab tidak mungkin jatuh daripada paras AS$170 bilion kepada AS$97 bilion disebabkan pelabur keluar dari Malaysia.

Beliau membetulkan fakta bahawa rizab tertinggi Malaysia bukan AS$170 bilion, tetapi berada pada paras AS$141.4 bilion pada Mei 2013. – Sarawakvoice

Leave a Reply