KUALA LUMPUR:  Umno terus prihatin terhadap isu dan masalah yang membelenggu rakyat ketika ini.

Buktinya, antara isu  yang disentuh oleh sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam ucapan mereka adalah seperti kos sara hidup dan pemilikan rumah menunjukkan keprihatinan parti untuk terus mencari penyelesaian berhubung permasalahan rakyat.

Selain itu, mereka juga membangkitkan usaha ke arah persiapan Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14  dan menangkis serangan daripada seteru politik parti itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas  timbalan presiden parti berkata pengurusan tertinggi parti akan mengambil perhatian pelbagai cadangan yang dilontarkan perwakilan untuk diperhalusi oleh kerajaan.

“Isu kos sara hidup ini juga merupakan isu yang membumi dalam kalangan kepimpinan akar umbi UMNO dan ia dilaungkan oleh jurucakap-jurucakap ketiga-tiga sayap,” katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata, hal ini menunjukkan keprihatinan sayap-sayap yang menyatakan perit jerih masalah kos sara hidup dan keprihatinan dan kepedulian atas masalah ini tentunya harus fokus kepada kumpulan sasar yang harus dibantu.

Berkaitan isu pemilikan rumah, Ahmad Zahid berkata beberapa cadangan yang dikemukakan mungkin boleh diteliti pihak berkuasa terbabit seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri.

“Kenaikan harga rumah akibat daripada kenaikan harga bahan pembinaan rumah dan kenaikan harga tanah dan tentunya mereka mengharapkan pihak kerajaan prihatin dan memberikan struktur bagi penyelesaian masalah ini,” katanya. 

Leave a Reply