Solidariti untuk Rohingya Ahad ini di KL

KUALA LUMPUR: Dengan mengetepikan perbezaan ideologi politik, Perdana Menteri dan Presiden Pas akan berada di pentas yang sama Ahad ini dalam “Perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya”.

Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul hadi Awang dijangka menghadiri perhimpunan itu bersama-sama puluhan ribu peserta lain.

Acara  dari 8 hingga 11 pagi itu akan diadakan di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berkata,  perhimpunan itu bertujuan untuk menunjukkan solidariti rakyat Malaysia bersama dengan umat Islam Rohingya yang sedang dibunuh dan dihalau secara zalim dari tanah air mereka.

Etnik minoriti Rohingya di Rakhine telah diseksa dan dizalimi tentera Myanmar dengan sekitar 30,000 orang menyelamatkan diri di sempadan Bangladesh.

Rumah, bangunan dan masjid mereka dibakar, lelaki dan kanak-kanak dipancung dan kaum wanita dirogol.

Himpunan ini juga, jelas beliau, akan mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan serta tokoh-tokoh politik, masyarakat dan negara.

Najib dan Hadi yang juga Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Islam Sedunia  dijangka akan menyampaikan ucapan dan pandangannya bagi menangani isu Rohingya.

Tokoh-tokoh agamawan seperti para mufti, kadi, imam dan para pendakwah turut akan hadir bagi menyatakan kebersamaan dengan derita Rohingya.

Selain  itu, mereka juga akan memimpin solat hajat dan munajat.

“Marilah kita sama-sama menjayakan Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya ini dengan turut hadir berhimpun sebagai tanda kebersamaan kita dengan saudara Islam yang sedang bergelut menyelamatkan maruah hidup mereka dalam dunia yang gelap hitam kerana dizalimi rejim yang kejam,” kata Tuan Ibrahim lagi. – Sarawakvoice

screen-shot-2016-12-01-at-8-18-55-am

Leave a Reply