Sewa tanah dengan pulangan RM780 sehektar, alternatif baharu tangani tanah terbiar – Uggah

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak kini memperkenalkan model baharu berbentuk ‘sewaan tanah’ bagi memberi nilai ekonomi terhadap tanah-tanah pertanian yang tidak produktif di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tanah-tanah tersebut akan disewakan kepada para pelabur bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’, dengan tanah tersebut akan dimajukan untuk aktiviti pertanian, manakala pemilik tanah akan menikmati kutipan sewaan bulanan.

“Menerusi model ini, pemilik tanah akan menyewa tanah mereka kepada pelabur pada kadar tetap per hektar setiap bulan untuk tempoh 25 ke 30 tahun,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak dekat sini semalam.

Uggah menjelaskan, model tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia kini sedang dilaksanakan oleh pihak swasta di negeri ini.

“Analisis kita mendapati secara purata, pendapatan tahunan yang diterima oleh pemilik tanah di bawah model sewaan swasta adalah sekitar RM720 ke RM780 sehektar, untuk tempoh 25 tahun.

“Kerana itu kita yakin model ini lebih menjadi pilihan pemilik tanah kerana ia memberikan pulangan tetap dan terjamin.

“Kini kita sedang berusaha gigih untuk mencari pelabur berpotensi dan pemilik tanah-tanah terbiar untuk menambah baik model ini,” jelasnya lagi.

Katanya di bawah Pelan Transformasi Sosisoekonomi Negeri (SETP), kerajaan kini komoted untuk membangunkan tanah-tanah NCR yang tidak produktif untuk memberi pulangan ekonomi kepada pemiliknya.

Sarawak dianggarkan memiliki 1.5 juta hektar tanah jenis ini dengan hanya 328,000 hektar dimajukan dan ditanam dengan kelapa sawit sama ada oleh pihak individu mahupun pengusaha-pengusaha kecil yang mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun di negeri ini.

Baki 1.2 juta hektar tanah masih lagi terbiar. – Sarawakvoice

Leave a Reply