Sarawak adakan persediaan awal untuk sasar juara SUKMA Perak 2018 – Manyin

KUCHING: Sebagai persediaan awal untuk menghadapi Sukan Malaysia di Ipoh, Perak pada tahun 2018, persatuan-persatuan sukan di Sarawak telah mula diarahkan mencungkil bakat atlet-atlet berpotensi di seluruh negeri, kata Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Menurutnya, usaha ini perlu dilakukan sekarang kerana tempoh dua tahun adalah terlalu singkat, sedangkan sasaran Sarawak pada kejohanan tersebut adalah untuk muncul juara keseluruhan, selain menjadi sebuah negeri “kuasa sukan”.

“Kerana itu satu sesi perbincangan telah diadakan semalam dan semua persatuan sukan diminta untuk mengemukakan perancangan, termasuk program kejurulatihan, selain mengenal pasti bakat-bakat muda di seluruh negeri,” katanya.

Pada kejohanan SUKMA 2016 yang lalu, Sarawak menduduki tempat kedua selepas Selangor, dengan memperoleh 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa. Namun ia mencipta sejarah kerana menjadi pingat terbanyak yang pernah diperoleh oleh kontijen negeri dalam kejohanan tersebut.

Jelas Manyin, perancangan ini turut melibatkan pencarian dan pemilihan jurulatih yang mampu mengembangkan potensi atlet-atlet ini ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk jurulatih dari luar negeri.

“Setelah kita mempunyai atlet, mereka perlu menjalani latihan daripada jurulatih-jurulatih bertauliah dan mampu melaksanakan perancangan yang baik.

“Tanpa kejurulatihan yang baik, potensi atlet-atlet ini tidak akan menyerlah,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya, jurulatih-jurulatih ini bukan murah kerana mereka menjadikan bidang ini sebagai kerjaya.

“Kerana itulah kementerian memerlukan kepada perancangan awal supaya kita dapat mencari dana bagi membantu persatuan-persatuan ini mencipta kecemerlangan.

Ketika ini Sarawak memiliki jurulatih-jurulatih asing untuk sukan seperti menembak, lumba basikal, wushu, gimnastik, taekwondo, sepak takraw dan tinju.

Manyin ditemui pada acara penyerahan bendera kepada kontijen Sarawak yang akan menyertai Kejohanan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA ke-9, yang akan berlangsung pada 6 hingga 12 Disember ini di Samarinda, Indonesia.

Seramai 52 pegawai dan atlet berusia bawah 18 tahun dari Sarawak akan terlibat dalam kejohanan yang turut melibatkan Sabah dan Labuan dari Malaysia.

Penyertaan lain adalah 15 pasukan dari Indonesia, dua pasukan dari Filipina, dan satu daripada masing-masing Australia dan Brunei Darussalam.

Sarawak akan beraksi untuk tujuh daripada 12 acara sukan iaitu memanah, ping pong, olahraga, badminton, pencak silat, sepak takraw dan tenis.

“Kita menyertai pertandingan ini untuk menjalin hubungan akrab dan mengeratkan persahabatan, tetapi pada masa yang sama mahu muncul sebagai pemenang.

“Kerana itu saya mahu mereka menerapkan semangat dan mentaliti kemenangan seperti kejohanan SUKMA lalu,” jelasnya.

Sukan persahabatan ini dianjurkan dua kali setahun sebagai aktiviti yang mempromosikan ekonomi, pelancongan dan pelaburan di kawasan pertumbuhan Asean Timur. – Sarawakvoice

Leave a Reply