Produk hasil hutan Sarawak akan ke peringkat dunia – Tengah

KUCHING: Sarawak kini sedang dalam proses “membandarkan” dan “mengantarabangsakan” produk-produk hasil hutan bukan kayunya, yang dahulu dikenali sebagai hasil rimba dan kraftangan pedalaman.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha itu dilakukan bagi menjulang hasil-hasil kreativiti masyarakat luar pedalaman dan luar bandar negeri ini ke peringkat antarabangsa.

“Kita ada produk-produk hutan dan berasaskan alam sekitar yang kreatif serta berkualiti tinggi, yang diusahakan oleh pengusaha-pengusaha dari pedalaman Lawas, Sungai Asap, Kapit dan pelbagai kawasan lain, namun ia belum dipromosi dan dipasarkan secara intensif.

“Kerana itu saya berharap produk-produk yang berasaskan alam semulajadi dan budaya ini diangkat menjadi sebuah perusahaan, dan kemudiannya dikembangkan sebagai industri kotej,” jelasnya ketika melancarkan Karnival Non-Timber Forest Products (NTFP) Heart of Borneo anjuran Jabatan Hutan Sarawak dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Tebingan Kuching dekat sini pagi tadi.

Katanya, usaha ini boleh dilaksanakan sekiranya kita memiliki hasrat dan pemikiran yang positif.

“Untuk itu kita perlu bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang lain, sambil memantapkan program penyelidikan dan pembangunan untuk produk-produk ini.

“Malah kita menyeru kepada pihak swasta untuk membantu kerana kita mempunyai kekayaan sumber alam semulajadi.

Katanya, antara punca kerajaan melaksanakan projek Heart of Borneo serta menggazetkan tanah seluas satu juta hektar tanah di negeri ini sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya atau “Total Protected Areas” adalah kerana untuk memelihara kekayaan biodiversitinya.

“Pada masa yang sama, kaedah pemasaran juga perlu ditingkatkan bagi memboleh ia dikembangkan ke seluruh pelosok negeri ini.

“Dengan fokus kerajaan kepada ekopelancongan pada hari ini, para pengusaha mempunyai peluang yang cukup baik untuk memasarkan produk mereka, selain menyertai pelbagai pameran antarabangsa,” jelasnya.

Antara hasil hutan yang dijual dalam karnival tersebut termasuklah ubat-ubatan, kraftangan, senjata, pakaian, makanan herba dan juga manik. – Sarawakvoice

Leave a Reply