KUALA LUMPUR:  Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ialah penentuan sama ada kerajaan pimpinan UMNO dikekalkan atau  rakyat memilih kerajaan baharu yang diterajui DAP, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO memberi amaran keindukan kepimpinan tidak boleh dipandang ringan kerana banyak hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera akan lenyap serta pupus sekiranya Dap berkuasa.

Beliau berkata,  rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan Bumiputera berdepan persimpangan paling genting dalam sejarah politik negara untuk membuat keputusan antara dua pilihan tersebut.

“Persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini, hari ini.

“Kalaulah orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mimpi ngeri yang bakal melanda hidup mereka, saya yakin mereka akan berpaut seteguh-teguhnya kepada UMNO, parti yang mampu membela keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka,” katanya.

Najib memberi jaminan kerajaan diinduki kepimpinan UMNO akan terus berlaku adil dan menjamin hak serta kepentingan masyarakat bukan Islam selari dengan yang termaktub dalam perlembagaan.

Perdana Menteri berkata,  berbeza dengan DAP, kerajaan  pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap  keluhan rakyat terutama  bagi meringankan kos sara hidup mereka. – Sarawakvoice

Leave a Reply