KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO yang bersidang semalam turut menzahirkan simpati terhadap penderitaan yang ditanggung etnik Rohingya  yang diseksa tentera dan pelampau Buddha  di Myanmar.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin menyifatkan perbuatan itu sebagai amat tidak berperikemanusiaan, tidak bertamadun dan tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang mempunyai akal, hati dan jiwa.

Etnik minoriti Rohingya mengalami penderitaan dan kekejaman dengan wanita dirogol, kanak-kanak dan lelaki disembelih, serta rumah dan masjid mereka turut dibakar.

Ribuan melarikan diri ke sempadan, dengan sebahagian meninggal dalam perjalanan kerana kecederaan dan kelaparan.

Sebelum itu, Khairy turut menarik perhatian perwakilan dengan  klip video yang menunjukkan kekejaman dilakukan terhadap etnik Rohingya.

“Pemuda UMNO juga mendesak anggota Asean agar keahlian Myanmar dikaji semula. Prinsip tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai apabila berlakunya pemusnahan etnik besar-besaran dalam sebuah negara ahli ASEAN,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2016.

Khairy dalam ucapannya mewakili Pemuda UMNO mendesak Kerajaan Myanmar mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman dan kezaliman terhadap etnik Rohingya. – Sarawakvoice

Leave a Reply