Pemuda UMNO perli Mahathir: Melayu mudah lupa

KUALA LUMPUR: Sekarang siapa sebenarnya mudah lupa? Tun Dr Mahathir Mohamad atau orang Melayu?

Ketika menjadi Perdana Menteri dahulu Mahathir sering menggunakan ungkapan ‘Melayu mudah lupa’.

Semalam ungkapan ‘Melayu mudah lupa’ bergema dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2016 di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malah,  ucapan semalam menjadi platform  untuk melancarkan melakukan ‘serangan’ terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pergerakan Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin mengungkapkan puisi “Melayu Mudah Lupa” yang disampaikan Mahathir pada 2001 untuk menyerang bekas presiden parti tersebut.

Khairy  membidas tindakan Mahathir yang bercanggah dengan pendiriannya pada masa lalu.

Banyak kenyataan dan tindakan Mahathir kebelakangan ini jelas bercanggah dengan pendiriannya ketika menjadi Perdana menteri dan Presiden UMNO.

Khairy  berkata, kesanggupan Mahathir berpusing 180 darjah dan membuat pusingan U bukan kerana prinsip, tetapi kerana kuasa sehingga sanggup mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan cara.

”Inilah yang mendepani kita sekarang. Bukannya musuh politik biasa tetapi  musuh yang mengamalkan seni politik segala kemungkinan, politik sapu  sahaja dan politik yang tiada setiakawan.

Sejak sekian lama agenda Mahathir adalah untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari kerusinya.

Tetapi semua langkah yang diambil beliau telah gagal, dan Mahathir yang disifatkan oleh Najib dalam wawancara dengan stesen televisyen dua malam lepas sebagai memiliki super ego yang tinggi, dan enggan mengalah, dijangka tidak akan dapat memenuhi agenda itu.

“Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, Bersih dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai Bersih. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros,” kata Khairy menempelak Mahathir.

“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, bila ditanya pasal reformasi. Sekarang mengejar tepukan di pentas lawan.

“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.

Sambil memberikan beberapa contoh menerusi tayangan klip video, para perwakilan mengajuk   “Melayu mudah lupa” seakan-akan memperli Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa,” katanya.

Leave a Reply