Kerajaan Pusat peruntuk RM69 juta bantu nelayan S’wak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM69 juta untuk membantu golongan nelayan di Sarawak pada 2017.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak dan Jabatan Pertanian Negeri memikul tanggungjawab menyalurkan bantuan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan untuk nelayan pesisir dan sungai tersebut disalurkan dalam bentuk elaun sara hidup, insentif tangkapan ikan, subsidi diesel dan petrol.

Selain itu, golongan nelayan dapat menikmati Skim Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan serta Projek Khas Perumahan Nelayan.

Menurut Uggah lagi, bantuan memberi manfaat kepada 21,162 penerima faedah di seluruh Sarawak.

Menggulung perbahasan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar pada sidang DUN, Rabu, Uggah berkata, Jabatan Perikanan Laut Sarawak juga menjalankan pelbagai program membanteras pencerobohan bot pukat tunda di negeri ini.

Antara tindakan dijalankan ialah membuat pemeriksaan vesel di laut selain melaksanakan program tukun tiruan di kawasan kerap berlaku pencerobohan bot pukat tunda.

Sementara, semua vesel penangkapan ikan laut dalam (zon C2) dipasang aplikasi Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi mengesan pergerakan bot berkenaan.

Sementara itu, Uggah mengumumkan Kompleks Pendaratan Ikan LKIM di Beladin yang tertunda penyiapannya, kini 88 peratus siap dan penjadual semula menjangkakan ia siap sepenuhnya menjelang Jun 2017.

Leave a Reply