KUALA LUMPUR:  Kebersamaan dan rasa kekitaan amat penting dipelihara dan diamalkan dalam parti.

Hanya dengan wujudnya amalan sedemikian parti dapat menjadi pasukan yang mantap, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Justeru, beliau mahu anggota sayap itu mengekalkan kebersamaan.

Beliau memberikan contoh Naib Ketua Pemuda Umno

Khairul Azwan Harun yang telah menunjukkan kebersamaan dalam parti  meskipun pernah dipandang serong oleh segelintir anggota parti.

“Kebersamaan ini jangan kita cakap dalam dewan ini sahaja. Dalam politik ini mesti ada kebersamaan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2016, semalam.

“Kebersamaan bukan kerana beliau nak mengharapkan habuan tetapi beliau nak tunjuk bahawa kita bersama-sama, bersama-sama dengan presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak). Azwan buktikan kebersamaan itu sehingga presiden iktiraf,” katanya.

Khairy  berkata perhimpunan kali ini mungkin yang terakhir sebelum PRU-14 diadakan, justeru beliau  menggesa ahli Pemuda supaya bersiap siaga dengan meminta mereka mengetepikan dahulu cita-cita merebut jawatan dalam parti.

Sebab, ujarnya, tanpa kuasa dan mandat daripada rakyat, segala kedudukan dan jawatan dalam parti akan menjadi tidak bermakna.

Beliau mengakui terdapat ahli yang masih menghargai sumbangan  kepemimpinan silam, namun mengingatkan mereka, pemimpin terbabit kini sudah menjadi musuh politik mereka.

Beliau merujuk kepada bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal yang kini sudah berada di pihak pembangkang.

Katanya, ahli Pemuda tidak boleh mempunyai sedikit pun simpati  atau kesian terhadap mereka yang  kini sudah menjadi musuh politik Umno. – Sarawakvoice

Leave a Reply