KUCHING: Daripada 1.5 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) hanya 328,000 hektar ditanam kelapa sawit.

Penanaman kelapa sawit diusahakan oleh pekebun kecil persendirian atau melalui konsep kerjasama dengan pelbagai agensi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri pada Rabu berkata, sekitar 1.2 juta hektar lagi tanah NCR tidak produktif.

Justeru, di bawah Pelan Transformasi Sosioekonomi (SETP), pembangunan tanah NCR ini dapat dimaksimumkan membawa sumbangan besar bagi ekonomi Sarawak pada masa akan datang.

Bahkan, sektor pertanian dapat diluaskan kepada tanaman lain seperti getah dan tanaman pembekal makanan sekali gus meningkatkan ekonomi isi rumah golongan petani dan pekebun.

Uggah berkata kementerian sedia menyemak semula konsep usahasama yang selama ini dijalankan di antara pemilik-agensi yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemilik tanah.

Pemilik mendakwa kadar pulangan pendapatan yang diberikan oleh agensi tidak konsisten dan rendah.

Menurut Uggah kerajaan perlu menilai semula kelemahan tersebut dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem usahasama tersebut.

Sementara itu, dalam ucapan penggulungan, Uggah turut mengumumkan bahawa Jabatan Pertanian Sarawak menerima peruntukan tambahan RM80 juta di bawah inisiatif transformasi sosioekonomi bagi 2017.

Peruntukan ini adalah untuk pembangunan prasarana ladang, pembinaan kemudahan pasaran dan bantuan untuk pekebun kecil.

“Projek dilaksanakan di seluruh kawasan luar bandar negeri ini termasuk pesisir pantai dan pedalaman,” menurut Uggah.

Beliau menambah bahawa peruntukan tersebut menjana pendapatan golongan pekebun, petani dan peladang yang terlibat dalam penanaman kelapa sawit, kelapa, lada, sagu, buah-buahan termasuk pengusaha sarang walit. – Sarawakvoice

Leave a Reply