KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pasar malam “uptown” merupakan indikator menilai kejayaan penduduk tempatan menjual produk masing-masing pada hujung minggu.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Menteri Perumahan dan Urbanisasi berpandangan, potensi jualan produk pertanian dan makanan di uptown amat besar sekiranya dapat dikembangkan dengan lebih baik.

Selain memberi peluang perniagaan kepada penduduk tempatan dan sesuai dengan perancangan menjadikan bandar raya Kuching tumpuan orang ramai, pasar malam “uptown” di pekarangan Dewan Suarah akan dipindahkan di Tebingan Kuching.

“Saya ambil contoh, jumlah jualan peserta yang mengikuti pameran kraf tangan sempena Regata Sarawak (di Tebingan Kuching) lalu mencecah RM1.6 juta,” kata beliau pada majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

Johari berkata, tempat baharu uptown itu lebih komprehensif dan strategik serta berpotensi menjalankan aktiviti perniagaan.

Sementara Presiden DUBS, Datuk Haji Abang Helmi Ikhwan dalam ucapannya berkata pada mesyuarat tersebut mereka membincangkan pelbagai isu melibatkan usahawan Bumiputera.

Abang Helmi memuji Sarawak Energy Berhad (SEB) kerana amat menyokong pihaknya dalam agihan tender badan itu.

Perkara lain yang disentuh dalam mesyuarat tersebut adalah berkaitan proses agihan kontraktor bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo serta agihan projek industri minyak dan gas melibatkan Bumiputera yang tidak memuaskan. – Sarawakvoice

Leave a Reply