UMNO perlu tangkis persepsi politik membosankan – Syed Hamid

KUALA LUMPUR: UMNO perlu tampil dengan imej yang lebih segar untuk menangkis persepsi negatif sesetengah generasi muda bahawa politik adalah sesuatu yang membosankan, kata Tan Sri Syed Hamid Albar.

Veteran UMNO itu berkata generasi muda masa kini akan mudah bosan dan jelik dengan politik tidak matang mana-mana parti politik, lantas memilih pihak lain menjadi wakil rakyat atau pemimpin mereka.

“Orang kalau dah bosan, dia akan pilih calon lain walaupun orang lain anggap calon itu orang gila. Pemilihan bukan kerana logik tapi sebab dah bosan , jadi dia akan pilih calon nasionalis atau calon yang mementingkan kepentingan nasional yang sempit.

“Orang pilih pemimpin-pemimpin pelik sebab mereka diperlukan dan dipercayai, bukan lagi orang yang biasa dalam politik. Itu yang berlaku sekarang di negara luar. Tidak mustahil berlaku di sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Syed Hamid yang juga bekas Menteri Luar dan bekas anggota Parlimen Kota Tinggi berkata mainan persepsi perlu ditangkis segera dan ini termasuk memberi penerangan dan bertindak pantas dalam sebarang isu yang menjadi viral atau heboh diperkatakan masyarakat.

“Isu-isu yang membawa kepercayaan orang, walaupun bohong, UMNO kena jawab cepat. Kalau tidak, orang akan percaya dan apabila kita lambat jelaskan, nanti orang kata, ‘kita mereka-reka cerita berkenaan,” katanya.

Sebagai orang lama dalam politik, Syed Hamid turut menasihatkan pemimpin parti khasnya untuk Perhimpunan Agung UMNO 2016 ini agar jangan mudah melatah apabila ada yang tidak bersetuju dengan pendapat mereka.

Jelasnya, fenomena itu adalah sebahagian daripada dunia politik dan pemimpin pasti akan meraih kepercayaan dan sokongan jika berjaya mengatasi ujian perjuangan tersebut.

“Saya fikir, dalam politik, sokongan 100 peratus memang tiada. Ia semula jadi politik, memang ada perbezaan. Bagaimana anda menguruskan perbezaan, itu yang buatkan anda berjaya.

“Bayangkan, kalau kita buat sesuatu program, mungkin empat orang suka, enam orang tidak suka atau sebaliknya. Jadi, janganlah kita buka pekung untuk semua orang supaya sokong kita.

“Jangan risaukan mereka yang membenci. Yang penting, kita tentukan ekonomi membangun, kedudukan ekonomi baik, rakyat kita bersatu, politik stabil. Yang penting orang ada keyakinan dengan kita khasnya dalam hal keamanan dan urus tadbir negara,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2016 berlangsung lima hari bermula semalam. Bernama

Leave a Reply